Maut Digilis Kereta Api

Seorang lelaki maut dengan mayatnya berkecai selepas digilis kereta api di landasan berhampiran Kampung Belukar Panjang Temangan, Machang pagi ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab. Ghani berkata,  dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu mangsa, Mohd. Fadli Mahussain, 29, dipercayai tertidur di atas landasan sebelum dirempuh kereta api yang dalam perjalanan dari arah Tumpat.

“Kita telah dimaklumkan oleh pemandu kereta api bahawa ada berlaku kemalangan semasa dalam perjalanan membawa penumpang daripada arah Tumpat.

“Apabila tiba di tempat kejadian iaitu di point 465.25, kereta api berkenaan telah terlanggar mangsa yang dipercayai tidur di atas landasan keretapi,” katanya ditemui hari ini.

Dzulkifli berkata, tinjauan ditempat kejadian mendapati mayat mangsa berkecai disebabkan diseret kereta api.

“Gambar tempat kejadian telah dirakam dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya. – 5 Mei 2016.