Rumah ‘Generasiku Sayang’ Perlindungan Remaja Hamil

Rumah ‘Generasiku Sayang’ sebagai rumah perlindungan untuk remaja hamil tanpa nikah akan mula beroperasi di Kelantan Jun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, rumah tersebut akan dikendalikan kakitangan jabatan berkenaan.

“Kita mengalukan sumbangan atau dana bagi membiayai kos harian dan penyelengaraan,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Program Generasiku Sayang di Tumpat, hari ini.

Rumah yang boleh menempatkan enam penghuni dan dua bayi dalam suatu masa itu dirasmikan isteri Tengku Temenggung Kelantan, Tunku Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Tunku Datuk Noor Hayati juga selaku penaung program Generasiku Sayang manakala Ahmad Razin sebagai pengerusi.

Ahmad Razin berkata, objektif khusus penubuhan rumah perlindungan itu adalah bagi memastikan remaja terbabit mendapat perhatian sebelum dan selepas bersalin dengan sebaik-baiknya.

Rumah yang pertama kali diwujudkan di Kelantan itu turut menyediakan rawatan sokongan psikososial selain bimbingan kerohanian terhadap remaja terbabit.

“Sebagai masyarakat, kita perlu bimbing golongan ini bagi membolehkan mereka membina kembali jati diri dan bersedia untuk kembali kepada masyarakat,” katanya.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaporkan bilangan anak tidak sah taraf di Kelantan pada 2013 ialah seramai 450 orang dan meningkat kepada 524 orang pada 2015. – 23 Mei 2016.