Bank Islam Lancar Kad Debit-i Visa TRW

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA ‘The Red Warriors’ (TRW) menerusi usahasama terbaharu bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, hasil usahasama ini adalah yang kedua selepas kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk Kad Debit-i Bank Islam Visa Team Harimau sebelum ini.

Beliau berkata, dengan kerjasama Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA TRW ini, Bank Islam menyasarkan sebanyak 50,000 kad baharu akan dikeluarkan dalam masa setahun.

“Sambutan yang diterima untuk kad Team Harimau sebelum ini amat menggalakkan di mana peningkatan jumlah pemegang Kad Debit-i Bank Islam Visa meningkat dari satu juta kepada lebih 2.6 juta pemegang kad sejak ia dilancarkan pada Mei 2013.

“Menerusi kerjasama dengan KAFA ini, Bank Islam komited untuk menyumbang RM2 kepada KAFA bagi setiap kad TRW yang dikeluarkan dan diperbaharui. Ini adalah untuk membantu Kafa meningkatkan lagi sukan bola sepak di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Majlis Pelancaran Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA “The Red Warriors” di Hotel Renaissance, Kota Bharu semalam.

Yang turut hadir,Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Zukri berkata, kad TRW ini bukan sahaja melambangkan kesetiaan para penyokong malah ia juga turut menyediakan pelbagai manfaat yang menarik kepada pemegang kad.

“Salah satu manfaatnya adalah kempen yang akan kami lancarkan serentak hari ini di mana pemegang-pemegang kad TRW berpeluang memenangi wang tunai serta beberapa hadiah menarik dengan pembelian runcit minimum RM50 bagi setiap transaksi.

“Selain itu, Kad TRW ini juga membolehkan pemegang melakukan pengeluaran tunai di stesen Petronas dengan jumlah RM500 untuk setiap pengeluaran,” katanya.

Tambah beliau, bagi mereka yang sudah mempunyai Kad Debit-i Bank Islam tidak perlu membatalkan kad yang sedia ada kerana mereka boleh memohon kad debit TRW sebagai kad kedua mereka bagi akaun yang sama.

“Kad TRW ini boleh didapati di semua 14 cawangan Bank Islam di Kelantan. Inisiatif penjenamaan bersama ini adalah salah satu strategi Bank Islam dalam mempromosikan transaksi tanpa tunai,” katanya. – 28 Mei 2016.