Waktu Rehat Penjawat Awam Bulan Puasa Dipendekkan 30 Minit

Kerajaan bersetuju memendekkan waktu rehat penjawat awam selama setengah jam sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, ia bagi memberi kemudahan kepada mereka memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini untuk beribadat.

“Bagi melaksanakan perkara itu, kerajaan bersetuju untuk menambah Waktu Peringkat (WP) dalam jadual Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) sedia ada di semua agensi kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut menyertakan panduan berhubung pelaksanaan WBB pada bulan Ramadan di negeri-negeri seperti Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang yang Sabtu dan Ahad merupakan hari rehat mingguan.

Waktu pejabat bagi negeri-negeri tersebut adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang manakala waktu rehat dari pukul 1.00 hingga 1.30 tengah hari (Isnin hingga Khamis) dan 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang (Jumaat).

Bagi negeri-negeri lain iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, Ali berkata WBB pada bulan Ramadan boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016.

Katanya surat pekeliling itu akan dimuat naik ke Portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) http://www.jpa.gov.my oleh JPA.

“Pelaksanaan pengurangan waktu rehat ini tidak akan menjejaskan aktiviti dan operasi sistem penyampaian perkhidmatan awam sepanjang bulan Ramadan kerana pelaksanaan ini tidak mengubah tempoh waktu bekerja penjawat awam sedia ada.” katanya.

Beliau berharap, semua penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berdedikasi bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa cekap dan berkesan dalam memenuhi jangkaan rakyat. – 3 Jun 2016.