Harga Senjata Api Serendah RM60 Di Pasaran Gelap Selatan Thailand

Harga pistol serendah 500 Bath atau RM60 menjadi faktor penjenayah berjaya mendapatkan senjata api dengan mudah sebelum di bawa masuk ke Malaysia.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar General Phattanawut Angkhanawin sambil memberitahu senjata berkenaan kebanyakkannya dijual melalui pasaran gelap di Selatan Thailand.

Pada masa sama katanya, sindiket menjual senjata api tersebut juga mempunyai rangkaian tersendiri yang menguruskan urusan jual beli dengan pelanggan di Malaysia.

“Senjata api buatan sendiri khususnya boleh dibeli dengan harga serendah itu (RM60) manakala pelbagai jenis senjata api lain juga boleh didapati dengan harga murah.

“Sangat murah 500 Bath boleh beli. Dia (sindiket) boleh bawa masuk sama ada mengikut sungai atau pintu sempadan. Mereka juga ada rangkaian sama ada rakyat Thailand kerja di Malaysia sekaligus memudahkan urusan pembelian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Wilayah Narathiwat semalam.

Tambah Phattanawut, pihaknya mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan senjata api tersebut namun perkara itu tidak boleh didedahkan kerana boleh mengganggu siasatan polis.

Pada masa sama, beliau turut meminta pihak berkuasa Malaysia supaya melakukan pemeriksaan rapi terhadap individu-individu yang keluar masuk sempadan sama ada melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang atau pangkalan haram.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan di pintu sempadan negara itu bagi mengekang aktiviti penyeludupan selain menghalang kemasukkan pengganas Daesh.

“Setakat ini, tiada lagi laporan diterima berhubung penglibatan rakyatnya dalam kumpulan pengganas Daesh atau laporan mengenai kumpulan militan tersebut memasuki Malaysia melalui Thailand,” katanya. – 7 September 2016.