Ahmad Zahid Timbalan Pengerusi BN

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat Jun lalu.

Presiden BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam..

“Datuk Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai timbalan pengerusi BN yang baharu selaras dengan Fasal 3 Fasal 8 (3) (B) Perlembagaan Barisan Nasional, usul ini dicadangkan MCA dan disokong MIC dan telah diterima dengan sebulat suara,” katanya.

Najib turut mengumumkan pelantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak sebagai bendahari agung BN yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletak jawatan susulan rombakan Kabinet pada 27 Jun lalu.

Terdahulu, BN mengadakan mesyuarat majlis tertingginya bagi membincangkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dan hal-hal berkaitan parti komponennya. – 24 September 2016.