Bunuh Canny Ong, Ahmad Najib Digantung

Bekas pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris dihukum gantung sampai mati semalam di atas kesalahan merogol dan membunuh penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong pada 2003.

Menurut sumber, hukuman ke atas Ahmad Najib telah dilaksanakan kira-kira pukul 6 pagi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di Kajang pada hari yang sama.

Pada 23 Februari 2005, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Ahmad Najib kerana merogol dan membunuh Ong, 29, di KM11 Jalan Klang Lama antara pukul 1 pagi dan 5 pagi pada 14 Jun 2003.

Ia susulan keputusan sebulan suara oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2009 untuk mengekalkan hukuman mati di atas kesalahan yang dilakukannya terhadap Ong, yang mana mayat rentung mangsa dijumpai di dalam lubang pembentungan. – 24 September 2016.