PPIM Sedia Bantu Masalah Peminjam ‘Ah Long’

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta peminjam yang mempunyai masalah dengan syarikat pinjaman wang atau dengan ‘Ah Long’ supaya mendapatkan bantuan pihaknya bagi memantau pembayaran balik pinjaman.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan memberikan bantuan dengan memantau pembayaran balik pinjaman setiap bulan oleh peminjam kepada pemberi pinjaman wang untuk mengelakkan mereka daripada dieksploitasi dan ditipu.

“Pinjaman wang ini boleh mengenakan faedah paling tinggi sebanyak 18 peratus sahaja… kalau dibiarkan, mereka akan mengenakan caj sesuka hati mereka kerana ada dalam kalangan mereka memang suka menipu orang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nadzim berkata, pihaknya telah menerima lebih 10,000 aduan berhubung masalah mangsa yang berhutang dengan Ah Long sejak empat tahun lepas.

Justeru, beliau meminta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil tindakan tegas dengan penubuhan pasukan khas untuk mengawasi lebih 4,000 syarikat pinjaman wang yang terdapat di seluruh negara daripada mengeksploitasi peminjam wang.

Beliau turut menasihati individu yang terdesak untuk membuat pinjaman dengan ‘Ah Long’ supaya menyimpan rekod dan membawa saksi ketika melakukan setiap transaksi dan tandatangan supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

“Ini kerana terdapat kes melibatkan akaun milik peminjam yang ditahan oleh pemberi pinjaman digunakan untuk transaksi pemindahan pengubahan wang haram tanpa pengetahuan pemilik akaun sehingga didakwa di mahkamah,” katanya. – BERNAMA, 18 Oktober 2016.