Pelajar Ditahan Bersama Air Ketum

Enam pelajar sekolah menengah antara lapan individu yang ditahan bersama tiga liter air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pondok Lebai, Tanah Merah.

Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi semalam itu dilakukan sepasukan anggota polis bersama beberapa agensi lain dalam ops bersepadu di daerah tersebut.

Katanya, pelajar yang berada di rumah tersebut ketika serbuan dilakukan berumur antara 14 sehingga 17 tahun.

“Manakala, dua lagi individu yang ditahan itu berumur 18 dan 19 tahun dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Sesyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Ab. Rahman menasihatkan ibu bapa agar mengambil peduli terhadap anak-anak mereka bagi mengelak gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah itu dapat dielak.

“Tidak lama lagi musim persekolahan, pelajar akan cuti panjang dan dikesempatan itu saya menyeru agar ibu bapa, jiran-jiran lebih prihatin terhadap anak masing-masing.

“Kes penagihan dadah dalam kalangan remaja ini semakin membimbangkan dan boleh terjebak pada bila-bila masa jika tidak ada sebarang pengawasan,” katanya. – 15 November 2016.