UMNO Mengutuk Keras, Sifat Sebagai Kebinatangan

Kejam, barbarian dan penuh kebinatangan

UMNO mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku di kawasan utara negeri Rakhine, Myanmar sehingga mengakibatkan ramai etnik Rohingya terkorban dan menjadi pelarian.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku di zaman moden kerana terlalu kejam, bersifat barbarian serta penuh kebinatangan.

Sehubungan itu katanya, satu ketetapan di peringkat antarabangsa perlu segera diputuskan bagi menamatkan cubaan pembersihan etnik yang sedang berlaku.

“Kita cukup prihatin dengan apa yang berlaku di negara itu. Apa yang menghairankan, masyarakat antarabangsa tidak begitu memberi perhatian terhadap perkara ini. Sedangkan jika keganasan ini berlaku kepada bukan Islam, ramai yang meloncat.

“Keganasan ini perlu dihentikan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak seperti mengatur gencatan senjata dan menghantar pasukan pengaman ke negara tersebut secepat mungkin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau program berkhatan beramai-ramai anjuran UMNO Bahagian Ketereh melibatkan 400 kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Perol, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sebagai salah sebuah negara anggota ASEAN, apa yang berlaku di Myanmar memalukan komuniti serantau, lebih-lebih lagi sebahagian besar penduduk ASEAN adalah penganut Islam.

Katanya, antara tindakan UMNO setakat ini ialah menghantar memorandum kepada Kedutaan Myanmar di negara ini bagi membantah keganasan yang berlaku di negara itu. – 26 November 2016.