Budaya Barat Bukan Acuan Corak Masa Depan Negara

Golongan muda khususnya mahasiswa diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan membawa masuk budaya Barat untuk dijadikan acuan dalam mencorakkan masa depan negara, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun sesuatu perkara itu dianggap baik di Barat, namun tidak semestinya ia sesuai diguna pakai di negara ini.

“Mungkin ada yang boleh kita pinjam untuk pakai dalam sistem kita, tetapi untuk memaksa sistem luar seratus peratus dijadikan acuan negara, mungkin tidak sesuai.

“Wajah dan rupa negara bukan boleh dicorak orang luar, kita yang perlu berikan wajah sebenar. Kita tidak izinkan orang lain untuk mencorakkannya, hanya kita sahaja yang boleh mencorakkan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) 4.0 sempena Perhimpunan Agung UMNO, di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berkata, golongan mahasiswa dalam dan luar negara perlu sentiasa berwaspada dengan aspek negatif dari barat yang mengenepikan hukum agama, nilai ketimuran serta mampu merosakkan institusi sosial.

Beliau berkata, ini kerana ada yang cenderung menjadikan nilai-nilai negatif sebagai acuan di negara ini kerana menganggap nilai ketimuran merupakan sesuatu yang jumud atau konvensional.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pandangan berbeza yang diutarakan generasi muda perlu diambil kira kerana golongan itu berada di garisan hadapan masyarakat dan dekat dengan denyut nadi rakyat. – Bernama, 27 November 2016.