PAU 2016: UMNO Kelantan Bawa Usul Keganasan Etnik Rohingya

UMNO Kelantan akan membawa usul berhubung isu etnik Rohingya untuk dibahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 hujung bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, seluruh rakyat di negara ini kesal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu selain disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Sebagai orang Islam melihat binatang dianiayai pun kita terasa inikan pula penindasan terhadap manusia. Kita tidak boleh terima penindasan seperti ini.

“Isu tersebut akan dibawa dan dibahas pada Perhimpunan Agung UMNO nanti dan saya juga bersetuju sekiranya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada murid cemerlang UPSR di Pondok Moden, Jeli hari ini.

Keganasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar, antara kumpulan etnik yang paling ditindas dan diancam serata dunia, kembali memuncak kira-kira sebulan yang lalu.

Keganasan ini disifatkan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas beberapa pos keselamatan tentera Myanmar yang kononnya didalangi militan Islam Rohingya.

Sebuah kajian dari International State Crime Initiative di Queen Mary of London telah mengemukakan bukti yang tidak dapat dinafikan bahawa pembunuhan, penderaan, rogol, penahanan sewenang-wenangnya dan propaganda kebencian terhadap agama etnik Rohingya di Myanmar sedang berlaku secara berleluasa.

Sehingga hari ini, tidak kurang dari 150 nyawa telah dibunuh secara kejam dan lebih kurang 1,250 buah bangunan telah dimusnahkan oleh pihak tentera Myanmar.

Di samping itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, lebih 30,000 penduduk Rohingya telah kehilangan tempat tinggal manakala beribu lagi terbunuh selepas diserang tentera Myanmar.

Rata-rata rakyat di seluruh dunia menggesa keganasan yang semakin rakus ini wajib dikecam dan dihentikan dengan kadar segera. – 27 November 2016.