RUU 355: Mustapa Bidas Pembangkang

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed membidas tindakan sesetengah pemimpin Pakatan Harapan yang mendakwa penangguhan huraian mengenai RUU 355 oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sidang Dewan Rakyat Mac tahun depan sebagai mainan politik UMNO.

Katanya, pembangkang ini diketahui tetap sentiasa membangkang, itu sikap mereka dan apa yang dilakukan untuk kebaikkan umat, mereka pasti akan menafikannya.

“Apa yang berlaku (penangguhan perbahasan RUU 355) semua sedia maklum oleh Abdul Hadi sendiri yang mahu memberi lebih banyak penerangan sebelum sesi perbahasan Mac tahun depan.

“Apabila hendak laksanakan sesuatu yang besar, kita tidak boleh tergopoh-gapah,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada murid cemerlang UPSR di Pondok Moden, Jeli hari ini.

Dalam pada itu Mustapa turut mengingatkan semua pihak khususnya parti-parti yang berteraskan bukan Islam diingatkan supaya tidak mempolitikkan isu berkaitan RUU 355.

Ujarnya, seluruh rakyat perlu memahami dengan jelas bahawa RUU 355 merupakan undang-undang untuk orang Islam sahaja dan langsung tidak menyentuh hak bukan Islam.

Dalam masa sama, beliau turut meminta semua pihak supaya membantu PAS dan UMNO memberi penerangan kepada rakyat khususnya bukan Islam mengenai kebaikkan rang undang-undang tersebut.

“Semua kita, tidak kira PAS, UMNO harus bertanggungjawab khususnya orang Islam untuk memberi penerangan. Matlamat kita untuk memperkasakan Mahkamah Syariah tidak akan tercapai sekiranya masih ada yang tidak memahami.

“RUU 355 untuk umat Islam dan diharapkan jangan dipolitikkan perkara ini,” katanya. – 27 November 2016.