Hukuman Kasari Anggota Wanita MBSA Terlalu Ringan – Peguam Negara

Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan berhubung hukuman mahkamah terhadap pasangan suami isteri yang mengasari anggota penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000, dan jika gagal membayar denda dipenjara tujuh hari, adalah terlampau ringan berbanding kesalahan yang dilakukan Lor Ka Hoo dan Tan Sit Fun.peguam-negara

Rayuan terhadap hukuman itu telah difailkan pada hari sama hukuman dijatuhkan ke atas pasangan berkenaan.

“Walaupun kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah, namun hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan demi memberi pengajaran kepada mereka di samping menjadi teladan kepada yang lain agar tidak melakukan perbuatan sama,” katanya.

Mohamed Apandi menegaskan, Jabatan Peguam Negara amat memandang serius perbuatan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Menurutnya, kesalahan jenayah tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Lor, 35, dan Tan, 30, mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika pegawai itu mengeluarkan saman ke atas sebuah kenderaan di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan tertuduh dan pergaduhan antara kedua-dua pihak menjadi viral selepas video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial. – 28 November 2016.