Isu Kekejaman Etnik Rohingya Suara Pondok Kata Haram Jika Membisu

Suara Ulama Pondok Kelantan (Suara Pondok) menggesa seluruh umat Islam supaya bersuara mengecam tindakan kerajaan Myanmar yang membiarkan penghapusan etnik Rohingya di wilayah Rakhine.

Ketua Penerangannya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, haram hukumnya jika umat Islam terus membisu dan membiarkan saudara mereka dizalimi serta dibunuh dengan kejam.

Beliau berkata, justeru, pihaknya menggesa Kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan tegas terhadap negara tersebut dan bukannya sekadar mengecam dengan memanggil duta besar negara itu untuk melahirkan kebimbangan atas apa yang berlaku.

“Kita mahu kerajaan mengambil satu langkah yang boleh menghentikan keganasan tersebut sama ada melalui Pertubuhan Bangsa-bngsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Haram hukumnya umat Islam membisu dengan keadaan yang berlaku kepada saudara seagama dan mengucap dua kalimah syahadat sama seperti kita, ” katanya.

Mohd. Syamsul berkata, kerajaan Myanmar adalah lebih dahsyat daripada rejim zionis kerana membunuh tanpa mengira usia dan belas kasihan.

“Perbuatan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak, wanita dan orang tua malah tempat tinggal mereka dibakar dan dipotong anggota tubuh badan. Mereka telah membunuh hampir 100,000 umat Islam,” katanya.

Tambahnya, Suara Pondok menyeru kepada 14 institusi pondok di seluruh negeri ini supaya mengadakan solat hajat khas serta
bacaan qunut nazilah yang diketuai oleh mudir masing-masing.

“Solat tersebut dilakukan agar umat Islam Rohingnya terselamat daripada kekejaman yang dilakukan oleh tentera Myammar.

“Walaupun mereka jauh tetapi tetap dekat di hati kita kerana mereka saudara Islam dunia akhirat, ” katanya. – 28 November 2016.