Perhimpunan Agung UMNO 2016 Bermula

Perhimpunan Agung UMNO 2016 bermula hari ini dengan pelbagai acara penting diatur sepanjang hari.

Majlis perasmian serentak ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dijadual berlangsung pada 8 malam dan akan dirasmikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketiga-tiga sayap pergerakan parti telah sebulat suara mahu perasmian itu dilakukan Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Tahun lepas, perasmian perhimpunan sayap dilakukan oleh ketua pergerakan masing-masing.

Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan amanatnya dalam Taklimat Presiden pada 2 petang ini.

Taklimat itu akan dihadiri anggota Majlis Tertinggi UMNO, Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta ketua-ketua bahagian.

Perhimpunan agung lima hari itu melibatkan 5,732 perwakilan. – 29 November 2016.