47 Orang Asli Direman 2 Hingga 3 Hari

(Kemaskini) Seramai 47 Orang Asli yang ditahan dalam operasi meroboh sekatan di Kampung Simpang Petei dan Pos Bihai di Hutan Simpan Balah, Gua Musang semalam, ditahan reman antara dua sehingga tiga hari di Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini.

Seramai 17 Orang Asli ditahan reman selama dua hari manakala selebihnya tiga hari.

Perintah tahanan itu dikeluarkan Majistret Mohd. Faiz Omar bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh dan menduduki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Semalam, Jabatan Perhutanan Kelantan menjalankan operasi meruntuhkan dua sekatan di Kampung Simpang Petei dan Pos Bihai yang dibina oleh penduduk Orang Asli sejak September lalu untuk menyekat daripada balak dibawa keluar.

Dalam operasi selama tujuh jam membabitkan 210 pegawai dan anggota pihak berkuasa diketuai Jabatan Perhutanan Kelantan itu lebih 35 pondok diruntuhkan kerana melakukan kesalahan melakukan aktiviti dan pendudukan di hutan simpan tanpa kebenaran.aslimahkamah

Sementara itu, sekumpulan Orang Asli dari beberapa negeri seperti Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang berkumpul di luar bangunan mahkamah berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap rakan mereka yang ditahan.

Kumpulan itu turut menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Terdahulu, mereka berarak ke bangunan mahkamah dengan melaungkan slogan ‘Bebaskan Kawan Kami’, dan ‘hidup Orang Asli’. – 30 November 2016.