MB Pertahan Roboh Sekatan, Tahan Orang Asli

Susulan penahanan Orang Asli dalam operasi meroboh sekatan laluan lori balak di tiga lokasi di Gua Musang semalam mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Presiden Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), Bob Manolan Mohamad mendakwa, kerajaan Kelantan, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pegawai penguatkuasa lain menggunakan kekerasan dalam tindakannya itu.

“Siapa yang akan menyara makan minum mereka? Lebih menyedihkan lagi kenapa turut mengangkut motosikal mereka?” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, hampir 40 Orang Asli yang terlibat membuat sekatan sejak September lalu di tahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang.

Mereka membina sekatan tersebut bagi menghalang pembalak menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan Wilayah Tanah Adat Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang.

Sebanyak tiga sekatan dibina iaitu di Simpang Petei berhampiran Pos Gob, Betau Cawas berhampiran Pos Bihai dan Kelawong di Pos Pasik.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Tijah Yok Chopil mempersoalkan penahanan mereka dipercayai dibuat di bawah Seksyen 84, Akta Perhutanan Negara iaitu memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang.

“Kenapakah ia dikuatkuasakan sedangkan Orang Asli bukan baru menduduki dan menggunakan kawasan tersebut?

“Kenapa mereka digempur dan ditangkap seolah-olah mereka penjenayah?

“Intimidasi dengan cara kekerasan lisan yang digunakan oleh pihak polis, PGA dan Jabatan Hutan ketika berdepan dengan Orang Asli amat biadap dan tidak berhemah sedangkan mereka hanya mempertahankan kawasan wilayah tanah adat mereka tanpa senjata dan atau kekerasan,” tegasnya.

Tambahnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sewajarnya turun dan melihat sendiri kemusnahan kawasan akibat kerakusan aktiviti pembalakan.

Katanya, kesan buruk daripada aktiviti pembalakan itu bukan sahaja dirasai penduduk setempat malah turut menyebabkan banjir banjir besar di Kelantan pada 2014.

“Adakah kerajaan negeri Kelantan masih enggan menerima hakikat ini? Adakah wang ringgit hasil pembalakan lebih penting daripada nasib dan hak rakyat,” soalnya.

Sementara itu Ahmad, mempertahankan tindakan tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Perhutanan dan polis.

“Isu penangkapan sewajarnya diserahkan kepada kebijaksanaan pihak polis dan tidak seharusnya dicampur tangan oleh mana-mana pihak sehingga siasatan yang dijalankan selesai,” katanya. – 30 November 2016.