Orang Asli Direman Hari Ini?

Kira-kira 38 Orang Asli yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang malam tadi akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapat perintah reman hari ini.

Penyelaras Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Kumar berkata, turut ditahan dalam operasi meroboh sekatan laluan lori balak di Gua Musang semalam ialah Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Azmi Badul dan seorang batin dari Pos Bihai.

Katanya, tiga pihak terlibat iaitu polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah bertindak dengan menyalahgunakan kuasa apabila menahan Orang Asli tersebut.

“Hasil daripada perbincangan peguam, kami telah menyoal apa kuasa polis untuk membenarkan Jabatan Perhutanan menahan kesemua Orang Asli di lokap polis.

“Bila kami minta supaya ditunjukkan seksyen mana ada peruntukan itu, kami mendapat jawapan bahawa penahanan mereka dibuat berdasarkan persefahaman antara Jabatan Perhutanan Kelantan dengan polis.

“Kami tidak tahu mereka ditahan di bawah seksyen apa?” katanya ditemui di perkarangan IPD Gua Musang lewat malam tadi.

Sehubungan itu kata Suresh Kumar, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah, Ketua Operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ketua Operasi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhubung perkara itu.

“Tetapi polis mendakwa kehadiran mereka bagi mengawasi keadaan manakala operasi meroboh sekatan balak di lokasi berkenaan diketuai oleh Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, dia memberitahu himpunan solidariti bantahan akan diadakan di hadapan bangunan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut diikuti laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang di Bukit Aman hari ini. – 30 November 2016.