Tahan Orang Asli, NGO Kutuk Keras Tindakan Itu

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Center To Combat Corruption & Cronyism (C4 Center) mengutuk keras penahanan Orang Asli yang mempertahankan sekatan di tanah adat mereka di Gua Musang semalam.

Pengarah C4 Center, Cynthia Gabriel berkata, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini berjanji akan ke lokasi sekatan bagi berbincang mengenai isu yang berbangkit.

“Namun, perjumpaan itu tidak pernah berlaku dan pihak berkuasa menggunakan “taktik kekerasan” dalam menangani bantahan masyarakat Orang Asli itu.

“Mereka (kerajaan negeri) berjanji untuk menjalankan tadbir urus yang baik dan melindungi hak masyarakat miskin dan terpinggir serta bersama mencari cara menyelesaikan perkara itu dengan baik.

“Janji itu rosak semalam apabila Jabatan Perhutanan Kelantan dan polis menghantar kira-kira 100 pegawai dengan senjata api untuk memecahkan sekatan balak di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini menyatakan hasil hutan menjadi penyumbang utama negeri itu iaitu sebanyak RM172.96 juta atau 29.12%.

Kelantan mewartakan kawasan hutan baharu bagi pembalakan dengan jangkaan hasil RM539.8 juta dalam bajet 2016 negeri.

Gabriel berkata, tindakan tersebut amat membimbangkan apabila Kelantan memilih untuk jadi agresif dengan mengutamakan keuntungan berbanding rakyat.

“Kami kutuk penahanan itu. Menyasarkan mereka seperti penjenayah tegar membawa tanda hitam terhadap kerajaan negeri Kelantan yang meletakkan Islam sebagai prinsip utama.

“Ke mana hilangnya nilai itu apabila berdepan masalah pembalakan tidak terkawal di negeri itu?,” katanya. – 30 November 2016.