Isu Orang Asli; Jakoa Nafi Tidak Ambil Berat

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan kononnya mereka langsung tidak membantu menyelesaikan masalah penduduk Orang Asli di daerah ini yang melakukan sekatan bagi menuntut hak tanah adat golongan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Mohd. Jamalludin Kasbi berkata, pihaknya tidak pernah bersikap lepas tangan terhadap isu Orang Asli ini tetapi menggunakan peraturan serta undang-undang sedia ada bagi membantu mereka.

Katanya, langkah-langkah untuk membela nasib Orang Asli khususnya dari segi tanah telah lama dilaksanakan oleh Jakoa.

“Kita sedia maklum berdasarkan kepada Akta Orang Asli 134 dan Kanun Tanah Negara, permohonan boleh dikemukakan dengan cara yang betul kepada Pejabat Tanah dan terpulang kepada pihak kerajaan negeri untuk memberi keputusan.

“Sehingga kini, lebih 176,000 hektar kawasan hutan yang telah diberi kepada masyarakat Orang Asli sama ada diwartakan atau diberi kebenaran untuk menduduki serta melaksanakan tugas dan kerja ekonomi mereka,” katanya.

Tambah Jamalludin, pihaknya juga tidak bersetuju dengan apa jua perkara yang dilaksanakan tidak mengikut peraturan.

“Kita selalu memaklumkan dan menasihatkan kepada Orang Asli, sekiranya mereka memerlukan tanah hendaklah membuat permohonan dengan cara yang betul.

“Kita kena melaksanakan tugas dengan betul dan bukan melalui kekerasan. Jadi saya nasihatkan kepada mereka yang terlibat membuat sekatan itu agar pulang ke pangkal jalan,” katanya. – 3 November 2016.