UMNO, PAS Kongsi Pentas Bantah Kekejaman Etnik Rohingya

UMNO dan PAS hari ini berkongsi pentas bagi menunjukkan bantahan terhadap penindasan serta kekejaman kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Antara pimpinan utama kedua-dua parti yang hadir adalah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Najib dan Abdul Hadi pernah berkongsi pentas pada perhimpunan alumni Universiti Al-Azhar beberapa bulan lalu.

himpunan_rohingya2Ribuan rakyat memenuhi Stadium Titiwangsa dan kawasan sekitar bagi menyertai Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan pelbagai NGO Islam.

Rata-rata mereka menggesa umat Islam bersatu agar dapat membantu etnik Rohingya yang beragama Islam.

“Tidak mungkin orang lemah boleh membantu orang yang juga lemah.

“Jadi apabila kita melihat orang Rohingya ditindas, umat Islam perlu menjadi kuat dan ini tidak boleh dicapai melainkan dengan kesatuan,” kata Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Hadir sama, Menteri Wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan. – 4 Disember 2016.