UMK Universiti Pertama Tubuh ‘Makmal Kekayaan’

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) muncul sebagai universiti pertama di negara ini yang menubuhkan ‘Makmal Kekayaan’ (wealth lab).

Makmal itu akan menjadi pusat penyelidikan kewangan terunggul negara.

Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed, berkata, penubuhan makmal secara maya melalui kerjasama strategik dengan Malaysian Financial Planning Council (MFPC) tersebut bukan sahaja akan memberi ilmu pengurusan kewangan kepada pelajar UMK bahkan masyarakat sekitar.

Beliau berkata, ia juga akan memberi peluang kepada rakyat Kelantan khususnya agensi perkhidmatan kewangan seperti agensi insuran dan unit amanah yang berminat menjadi Perancang Kewangan memperoleh pengiktirafan Registered Financial Planner (RFP) melalui program di UMK sendiri.

“Kajian menunjukkan terlalu ramai rakyat Malaysia tidak pandai mengurus kewangan dengan nisbah 68 individu diisytihar muflis setiap hari manakala 24,000 belia telah diisytiharkan muflis sehingga kini.

“Kita mahu memberi ilmu kepada pelajar, kakitangan dan masyarakat seluruhnya agar mereka tidak mudah tertipu dengan skim-skim cepat kaya dan skim ponzi dan pelbagai lagi.

“Makmal ini akan menjadi rujukan dan perkongsian antara pakar, industri dan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Perancangan Kewangan dan Pengurusan Kekayaan di UMK Kampus Kota hari ini.

Pada majlis itu, Mortaza mewakili UMK telah menandatangani Memorandum Persetujuan dengan pihak MFPC yang diwakili Setiausaha Agungnya, Anuar Shuib. – 7 Disember 2016.