Kelantan Iystihar Cuti Peristiwa 13 Disember

Kerajaan PAS Kelantan mengisytiharkan 13 Disember ini sebagai cuti peristiwa sempena keberangkatan rasmi Sultan Muhammad V ke Istana Negara sebagai Yang Dipertuan Agong ke-15.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan ingin memberi peluang kepada rakyat negeri itu meraikan keberangkatan baginda pada hari tersebut.

Beliay berkata, bagi meraikan keberangkatan baginda, rakyat jelata akan berbarus di sepanjang jalan dari Istana Negeri, Kubang Kerian menuju Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa bermula 7.00 pagi Selasa ini.

Beliau menjangkakan 10,000 rakyat akan berada di lapangan terbang meraikan keberangkatan baginda.

“Kita berharap rakyat ramai-ramai turun tanpa mengira apa jua latar belakang untuk menyatakan kegembiraan dan penghormatan terhadap baginda yang dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong.

“Pada hari itu juga Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja akan diadakan untuk mengumumkan pengisytiharan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong yang baharu manakala pertabalan pula adalah pada tarikh yang lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

Beliau memberitahu, pengisytiharan Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra sebagai Pemangku Sultan Kelantan akan berlangsung esok. – 7 Disember 2016.