Melayu Kuat, Akal Pendek?

Kata orang menunggang kuda memang enak. Ia memberikan banyak manfaat untuk kesihatan terutama untuk kekuatan pinggang dan belakang. Pendek cerita untuk kecergasan.  
 
Untuk menunggang kuda, manusia perlu mempunyai hubungan simbiotik dengan kuda. Tanpa hubungan ‘jiwa ke jiwa’ dengan haiwan itu, tunggangan akan jadi tidak menentu, malah boleh membuatkan haiwan yang jinak itu bertindak agresif terhadap penunggangnya. 
 
Kuda merupakan haiwan yang mempunyai kaitan rapat dengan manusia sejak dari zaman kemunculan tamadun manusia. Haiwan ini telah dijinakkan dan menjadi aset penting kepada masyarakat dalam mengembangkan pelbagai aspek kehidupan mereka. 
 
Kuda adalah haiwan mamalia yang memiliki ciri-ciri kebolehan yang unggul seperti tangkas, bijak, penyayang, setia dan berani. 
 
Menguasai haiwan ini merupakan satu cabaran dan jika berjaya menguasainya penunggang kuda akan dapat menggunakan kekuatan kuda khususnya ketangkasan berlari untuk tujuan beriadah dan pada zaman dahulu kuda digunakan untuk berperang. 
 
Penternak Kuda perang zaman Pertengahan menggunakan kuda baka Percherons dan baka Andalusia, penternak mencipta kuda perang zaman Pertengahan dimana kuda ini cukup kuat untuk membawa seorang tentera berbaju besi tetapi masih mempunyai ketangkasan untuk melompat dengan baik.
 
Kuda perang zaman pertengahan Eropah adalah unik di mana kuda-kuda ini cukup kuat untuk membawa seorang tentera berbaju besi dalam masa yang sama kuda-kuda ini turut dipakaikan baju besi untuk perlindungan. 
 
Walaupun dalam keadaan membawa beban yang berat kuda perang masih mampu membawa penunggang mereka ke medan perang yang kasar dan tidak rata permukaannya. 
 
Di dalam pertempuran, kelincahan kuda perang ‘membolehkan kuda-kuda ini mengelakkan kecederaan pada dirinya dan penunggangnya. Kuda perang turut dibantu oleh penunggang dengan melindungi dari serangan senjata musuh. 
 
Kuda perang tidak sesuai untuk kegunaan aktiviti ladang. Kuda-kuda ini tidak dilatih untuk menarik kereta kuda dan pelbagai aktiviti semasa di luar situasi peperangan. Kuda perang kemudiannya mula lenyap setelah era peperangan berakhir di Eropah.
 
Di alam Melayu pula, tidaklah banyak cerita perihal kuda kerana haiwan itu tidak popular terutama di Tanah Melayu. Yang banyak kelihatan cuma kuda padi, kecil kurang lebih seperti keldai. 
 
Namun di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia – kuda lebih terkenal dengan istilah diperkudakan. 
 
Diperkudakan tidak bermaksud menunggang kuda untuk mendapat manfaat seperti kecergasan tubuh badan atau menunggang kuda untuk berperang. 
 
Hari ini istilah ini sering digunakan dalam kehidupan harian. Maksudnya yang kuat menunggang yang lemah untuk menentukan arah tuju satu perjalanan baik kehidupan atau dalam politik. 
 
Ini bererti, yang kuat dan berani akan terus kekal menjadi dominan manakala yang lemah akan terus ditunggang. 
 
Oleh yang demikian juga PAS yang menjadi mangsa tunggangan DAP melarikan diri daripada pakatan pembangkang kerana mereka sedar DAP sangat kuat dan berani disebabkan mereka didokong oleh masyarakat Cina serta kental pegangan ideologi yang tidak pernah luntur sejak ditubuhkan. 
 
Lihat sahaja pengasas DAP, Dr. Chen Man Hin biarpun kita di era serba canggih namun dia tetap memakai topi serta jaket seperti ‘komunis baru keluar hutan’. 
 
Dan malangnya yang berada di sebelah dia ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Man hin yang dilahirkan di China sebelum belayar ke Tanah Melayu pada usia mudanya sebelum Perang Dunia Kedua tetap kental dengan jiwa Cinanya. 
 
Dia tetap tidak berubah begitu juga Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng. DAP akan terus kekal dengan pegangannya, mereka adalah penunggang dan bukannya kuda yang akan ditunggang. 
 
Lihat sahaja sejarah kerjasama di antara parti Melayu dengan DAP, semuanya cabut. Semangat 46 yang diketuai oleh Tengku Razaleigh meninggalkan gabungannya Gagasan Rakyat dan PAS yang terang-terangan berbeza ideologi cuba bertolak ansur turut lari meninggalkan Pakatan Rakyat. 
 
Namun kini Mahathir mencuba untuk sertai gabungan Pakatan Harapan. Yang pastinya, Melayu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia – akan terus menjadi tunggangan DAP. Melayu adalah kuda perang yang kuat tetapi akalnya pendek. 
 
Jangan biarkan kita terus diperkudakakan. Kita harus menjadi penunggang kuda yang hebat untuk memacu laju dan tangkas mengendali haiwan itu ketika bertarung dengan musuh.  
 
*Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pandangansokmo.net