Ditahan Cuba Seludup Petrol Ke Negara Jiran

Malang nasib seorang penyeludup setelah usahanya untuk menyeludup masuk minyak petrol ke negara jiran gagal apabila ditahan ketika sedang menunggu pemandu bot di Sungai Golok malam tadi.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di pangkalan haram Bahaman, kira-kira jam 9 malam selepas kenderaannya memasuki sebuah stor dipercayai menyimpan sejumlah tong yang berisi petrol.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd. Rahman berkata, serbuan dibuat sebaik sahaja menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan terbabit.

“Kami segera membuat serbuan dan menahan pemandu terbabit. Hasil pemeriksaan menemui 11 tong mengandungi 330 liter petrol yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Ahmad Amri berkata, lelaki berkenaan ditahan bersama barang rampasan termasuk kenderaan dan dibawa ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor.

Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM6,643 termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Dan Bekalan 1961. – 8 Disember 2016.