PAS Kata PPBM Lebih Baik Kerjasama Dengannya

Ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mengharapkan PAS menyertai Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum – 14 (PRU14), sebaliknya ia dinasihatkan supaya meninggalkan DAP dan bekerjasama dengan PAS.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang memberi nasihat itu dengan alasan, DAP hanya ingin mempergunakan pengaruh pemimpin PPBM khususnya Penasihatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meraih sokongan rakyat terutama orang Melayu semata-mata.

Beliau berkata, kerjasama PPBM dengan PAS adalah jauh lebih baik daripada mereka terus bersama DAP dan juga PAN.

“Apa yang kita lihat hari ini begitulah keadaannya, DAP hanya mempergunakan Tun Mahathir dan PPBM untuk meraih sokongan.

“Lebih baik mereka (PPBM) tinggalkan DAP dan PAN tetapi bersama dengan kita, itu lebih baik,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini Dr. mahathir yang mengetuai PPBM dilihat semakin erat hubungannya dengan DAP.

Baru-baru ini, bekas perdana menteri itu menyatakan akan memberi satu tempoh sama ada PAS akan bekerjasama dengan PPBM.

Bagaimanapun, cadangan Dr. mahathir itu ditempelak bahawa parti Islam itu tidak memerlukan nasihatnya.

PAS yang menjadi rakan sekutu DAP di bawah Pakatan Rakyat sebelum ini bertindak keluar dari gabungan itu setelah parti berasaskan kaum Cina itu lantang mengkritik Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain menentang pelaksanaan hukum hudud.

Susulan itu Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP terbubar ekoran perpecahan itu.

Berikutan itu, PAS kerap kali mengeluarkan kenyataan tegasnya tidak akan bersama lagi dengan DAP yang terang-terangan menolak pelaksanaan hukum Islam (hudud) meskipun ada pihak yang mencadangkan parti itu bersatu semula. – 8 Disember 2016.