Nyaris Maut Kereta Tersangkut Pada Jambatan

Sebuah keluarga nyaris maut kereta tersangkut pada jambatan

Sebuah kelyarga bersama seorang kanak-kanak berusia tiga tahun nyaris maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum tergantung di atas sebuah jambatan dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa, Mohd. Fakhrulhakim Mat Zain, 30, dari arah Gua Musang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta Proton Wira dari arah bertentangan sebelum terbabas.

Bagaimanapun, mangsa bersama isterinya, Nurul Shahida Mat Nor, 29, dan anak lelaki mereka, Mohd. Firash Mikhail, 3, hanya cedera ringan apabila kenderaan mereka tersangkut pada semak-samun berhampiran jambatan tersebut.

Akibat kemalangan tersebut, kesemua mangsa yang dalam perjalanan menuju ke rumah keluarga di Felda Perasu telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan kecemasan.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Wira, Mohd. Tarmizi Aziz, 39, bersama dua lagi rakannya yang berumur 30-an dari Kampung Renok, Gua Musang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd. Tarmizi berkata, dia terkejut apabila sebuah kenderaan dari arah Gua Musang tiba-tiba memasuki laluannya lalu merempuh bahagian hadapan kereta sebelum kereta itu tergantung pada jambatan.

Katanya, lokasi kejadian tersebut hanya terletak 500 meter dari bandar Gua Musang dan ketika kejadian, keadaan cuaca hujan renyai-renyai.

“Saya terkejut serta segera memberhentikan kenderaan dan melihat mangsa bersama kenderaannya sudah tersangkut pada jambatan setinggi kira-kira 50 meter itu.

“Orang ramai telah menyelamatkan mangsa sebelum mereka dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – 9 Disember 2016.