Orang Asli Ada Hak Atas Tanah adat Kata Bekas Hakim

Hakim bersara Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Orang Asli di semenanjung mempunyai hak undang-undang terhadap tanah adat mereka.

Katanya, masyarakat tersebut berhak memiliki tanah adat itu dengan menyemai, memburu, mengutip hasil hutan dan tinggal di situ.

“Menduduki tanah itu untuk beberapa generasi ialah tanggapan kuat dan hampir tidak boleh disangkal yang mereka memegang hak itu,” katanya.

Sri Ram, sebelum ini pernah membuat keputusan bagi sekurang-kurangnya dua kes penting membabitkan Orang Asli di Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, Akta Peralihan Hak Atas Tanah dan Akta Orang Asli termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa boleh memperoleh tanah mereka tetapi perlu memberikan pampasan yang secukupnya.

“Jika anda tidak berbuat demikian, ia pelanggaran undang-undang kerana menafikan hak mereka terhadap harta mereka,” katanya.

Berdasarkan laporan mengenai isu berkaitan Sri Ram berkata, insiden itu menunjukkan tindakan pihak berkuasa tidak mengikut undang-undang kerana mereka cuba mengabaikan hak tanah adat Orang Asli tanpa pampasan kewangan.

Katanya, pembalak juga bertanggungjawab kerana menceroboh.

“Orang Asli yang terjejas mempunyai remedi undang-undang kerana undang-undang kes menyokong mereka,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 40 Orang Asli ditahan kerana mendirikan sekatan di kawasan hutan simpan di Gua Musang.

Pertikaian antara 200 Orang Asli Temiar dan pihak berkuasa tempatan Kelantan berlaku sejak 26 September lalu dalam isu menghalang pembalak menebang balak di Hutan Simpan Balah.

Susulan itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengarahkan penunjuk perasaan menghentikan sekatan itu atau berdepan tindakan undang-undang. – 10 Disember 2016.