SPRM Kelantan Siasat Lebih 3 kes Berprofil Tinggi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang menyiasat lebih tiga kes berprofil tinggi melibatkan individu penting dalam organisasi dan penjawat awam dengan melibatkan penyelewengan bernilai jutaan ringgit.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Moh Samsudin berkata, pada masa ini, kes berkenaan masih diperingkat awal siasatan.

“Apabila proses siasatan awal ini selesai, kita akan membuka siasatan terbuka.

“Dalam masa sama, saya juga menyeru mereka yang terlibat menyerah diri,” katanya selepas majlis perasmian Hari Anti Rasuah Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hari ini.

Perasmian Hari Anti Rasuah yang bertemakan ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Majlis yang dihadiri lebih 500 orang itu turut dimeriahkan dengan perarakan peserta berkuda, berjalan kaki, larian, berbasikal, motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan pacuan empat roda. – 10 Disember 2016.