Yusuff Al-Qaradawi Kecam Penindasan Etnik Rohingya

Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi bersetuju dengan pendirian Malaysia berhubung isu kekejaman etnik Rohingya di Myanmar.

Sehubungan itu beliau turut mengecam sekeras-kerasnya kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam Rohingya di negara itu.

Dalam satu kenyataan rasmi Kesatuan Ulama Sedunia cawangan Asia Tenggara malam tadi, Al-Qaradawi memuji sikap kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berani menentang kezaliman itu.

“Presiden (Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi) melahirkan rasa sedih kerana ia berlaku di depan penglihatan dan pendengaran masyarakat antarabangsa dan dunia Islam tanpa sebarang tindakan segera yang diambil,” kata kenyataan itu.

Pada 4 Disember lepas, Najib selaku presiden UMNO, dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul HAdi Awang berkongsi pentas dalam Himpunan Solidariti Ummah menentang penghapusan etnik Rohingya di Kuala Lumpur.

Sewaktu berucap di himpunan itu, Najib mendesak negara komuniti Asean serta badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap etnik berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, Al-Qaradawi mengisytiharkan 16 Disember ini sebagai “Hari Membela Rakyat Rohingya”.

“Kami menyeru khatib di seluruh dunia membicarakan tentang bantahan ke atas kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya,” katanya. – 10 Disember 2016.