Kerajaan, Rakyat Sanjung Tinggi Semangat Dan Pekerti Tuanku Abdul Halim

Kerajaan Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap pemerintahan cemerlang Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Ketua Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mewakili seluruh rakyat jelata menyanjung tinggi semangat dan pekerti Tuanku,  biarpun  keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan namun baginda tetap tabah melaksanakan tugas bagi memastikan negara sentiasa aman dan damai.

“Baginda adalah seorang raja yang kompeten dan telah melaksanakan tugasnya sebagai raja berperlembagaan sepanjang lima tahun yang lepas.

“Patik bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat jelata ingin merakamkan sebesar-besar penghargaan dan lafaz penghormatan yang tiada terperinya kepada Tuanku berdua, lantaran sepanjang tempoh pemerintahan telah menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Negara dan Raja Berperlembagaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan Tuanku Abdul Halim, di Istana Negara malam tadi

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata, bagi pihak kerajaan beliau dan rakyat berasa bangga atas keprihatinan yang di-Pertuan Agong sebagai seorang raja berjiwa rakyat dalam memayungi pelbagai kerja amal dan kebajikan di Malaysia.

Dalam ucapan bertema ‘Raja Berpengalaman dan Berjiwa Rakyat’ itu, beliau memanjatkan kesyukuran kerana amanah yang diterjemah dan dilunaskan itu telah berlangsung dengan sempurna sehingga ia mendatangkan kemuliaan dan kepujian kepada Seri Paduka dan Malaysia.

Beliau turut menyanjung sikap Seri Paduka yang sentiasa menepati masa, dan menegaskan ia harus dicontohi rakyat.

“Tuanku tidak pernah lewat untuk menghadiri mesyuarat rasmi pada 8 pagi antara saya selaku Perdana Menteri dan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Rabu sebelum mesyuarat Kabinet,” kata Najib.

Tuanku Abdul Halim akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua pada 12 Disember 2016 dan digantikan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Tuanku Abdul Halim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975, dan Yang di-Pertuan Agong ke-14 berkuat kuasa 13 Disember 2011.

Beliau mengakhiri ucapan dengan pantun berbunyi:

Burung nuri terbang ke lembah,
Hinggap megah di tengah kota,
1Malaysia merafak sembah,
Daulat Tuanku Payung Mahkota.

Ampun Tuanku Seri Paduka,
Sembah takzim menjunjung tinggi,
Semoga karar di atas takhta,
Doa patik setulus hati.

– 11 Disember 2016.