PAS Kini Musuh Ketat Parti Serpihannya

Perkembangan semasa politik tanah air hampir tidak memungkinkan PAS dan PAN menemukan titik persamaan untuk menjadi satu gagasan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum – 14 (PRU14) nanti.

Biarpun dari kejauhan masih ada ahli dan penyokong mengharapkan dua parti itu bergabung semula, atau paling tidak pun bekerjasama di bawah Pakatan Harapan namun, ianya dilihat kian sukar dan tipis.

Ini kerana, parti serpihan PAS itu (PAN) telah menyatakan akan meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingkan PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi PAN Wilayah Persekutuan, Dr. Mohd. Hatta Ramli menyatakan perkara itu semasa berucap pada Konvensyen Nasional  PAN 2016 semalam.

Beliau memberitahu, PAN bagaimanapun tidak mahu menyentuh mana-mana kerusi PKR atau DAP kerana kedua-duanya merupakan rakan sekutu parti itu.

“Kita perlu menghormati teman-teman kerana mereka mempunyai rancangan mereka,” katanya.

Sebelum itu PAN membayangkan akan bekerjasama dengan PAS, selain komited bersama gabungan DAP dan PKR bagi menghadapi PRU14.

Naib Presidennya, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, sikap berkecuali PAS dilihat hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).

Namun, PAS tetap bertegas tidak akan bekerjasama dengan PAN dan DAP.

Parti Islam itu juga berkeras untuk tidak memberikan sebarang kerusi buat PAN dan DAP berikutan rasa kecewa pihaknya terhadap kedua parti tersebut.

“PAN tidak ada kerusi, macam mana nak bekerjasama dengan orang yang ada kerusi?

“Saya rasa mereka hanya nak bekerjasama kerana mereka mahukan kerusi. PAS sebelum ini sudah memberitahu, yang kami akan pertahankan kerusi yang ada,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. – 12 Disember 2016.