PKR, DAP Paling Kedekut Kerusi

Gabungan pilihan raya yang dibentuk antara Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) hanya lebih kepada pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malah gabungan itu hanya dilihat akan menambah kekalutan dalam pakatan tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, realitinya Pakatan Harapan dan PPBM perlukan PAS untuk merealisasikan pertandingan satu-lawan-satu dengan Barisan Nasional (BN) walaupun gabungan tersebut dibentuk.

“Rundingan mereka rundingan (menentukan) kerusi. Yang pasti mereka akan berebut kerusi.

“Berdasarkan pengalaman PAS sewaktu bersama Pakatan Rakyat, PKR dan DAP paling kedekut kerusi. PAS paling pemurah. Kerusi Melayu jadi rebutan Amanah (PAN), PKR dan PPBM,” katanya.

Semalam, Pakatan Harapan dan PPBM menandatangani memorandum persefahaman gabungan pilihan raya biarpun PPBM belum menyertai pakatan tersebut secara rasmi

Khairuddin berkata, PAS masih kuat serta gagah dan tidak akan terjejas walaupun tidak menyertai Pakatan Harapan atau membentuk gabungan dengan parti pembangkang lain.

“Di sini menggambarkan kecerdikan PAS dalam politik. Tidak boleh ikut orang. Sampai masa, parti lain ikut PAS.

“Mereka (parti pembangkang) kena terima hakikat pembangkang paling kuat ialah PAS. Ini kerana majoriti rakyat Malaysia ialah Melayu dan parti Islam paling kuat selepas UMNO.
“Pemimpin masa ini pun sedar dan akui bahawa PAS merupakan parti yang kuat dan gagah.” katanya.

Beliau berkata, parti Islam itu tidak rugi jika bersendirian kerana mereka masih mempunyai undi teras berbanding parti pembangkang lain yang mengharapkan undi protes daripada pengundi UMNO.

Tambahnya, PAS tidak memerlukan parti lain untuk bergerak dan mana-mana parti lain yang mahu bekerjasama dengannya perlu menerima cara dan syarat parti itu.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pertandingan tiga penjuru pasti berlaku dengan berkata “satu pembohongan sahaja nak satu-lawan-satu dengan UMNO.

“Realiti semua kemaruk nak kerusi,” ujarnya.

Semalam, ahli DAP, Dr. Abdul Aziz Bari dilaporkan berkata, PAS dilihat tidak lagi mampu bertahan di Selangor dan keengganan parti Islam itu menyertai Pakatan Harapan hanya merugikan mereka sendiri.

Katanya, rancangan PAS membentuk blok politik berasingan tanpa musuh ketat, PAN dan DAP juga tidak akan mendatangkan masalah kepada pakatan tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd. Samad berkata, gabungan pilihan raya Pakatan Harapan dan PPBM tidak lengkap tanpa PAS.

“PAS bukan parti kecil, PAS mempunyai ramai ahli. Sebarang persefahaman pilihan raya tanpa PAS adalah tidak lengkap,” katanya. – 14 Disember 2016.