Bila Panggung Melabuh Tirai

Tutup panggung mesti dilabuhkan tirai. Itu adat dalam memanggung. Kalau panggung tidak dilabuhkan cerita tetap habis. Yang ada hanya kain putih kosong dan lampu yang cerah.

Panggung memaparkan cerita dan kisah yang lazimnya ada hubung kait dengan kehidupan. Namun rata-rata kisahnya membawa manusia khayal dengan penuh adegan yang diimpikan.

Manusia pula memilih genre ceritanya. Jika yang hanyut dengan kehidupan yang indah disaluti dengan kemewahan pastinya hindustan yang menjadi pilihan.

Jika yang mahu menjadi hero pastinya Superman atau Spriderman yang dilihatnya, ditiliknya supaya menjadi pujaan ramai. Watak-watak adiwira ini dicipta untuk keseronokan dan begitu juga kisahnya Kajol dan Shah Rukh Khan, semuanya untuk seronok.

Dalam kehidupan hidup kita dicorak. Dari kecil kita dicorak oleh keluarga. Bila besar pemikiran kita dicorak pula oleh politikus. Politikus juga mencorakkan pemikiran ibu bapa kita.

Jadi mahu atau tidak kehidupan kita dicorakkan oleh politikus sejak dari kecil. Watak politikus dalam kehidupan persis pembikin filem yang membikin karya mereka.

Politikus juga menggunakan panggung untuk melebarkan propaganda mereka. Golongan itu melabelkan lawan mereka sebagai antagonis manakala mereka adalah protagonis.

Di Negeri Serambi Mekah (Kelantan), sejak lebih 25 tahun lalu telah ditanamkan dalam jiwa setiap rakyatnya bahawa yang tidak mendokong warna hijau adalah watak antagonis biarpun golongan itu dari bangsa serta menyembah tuhan yang sama.

Watak-watak ini digarab dengan baik. Bersemutar dan bila di atas pentas mereka tanpa segan silu mengeji manusia lain walaupun yang bercakap itu mendokong warna hijau dengan memakai jubah serta semutar besar.

Susah hendak dijelaskan tetapi semua ada mata, telinga dan pacaindera untuk merasa apa yang berlaku disekeliling mereka.

Malah sehingga kini pun, puak hijau ini masih tidak mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri memerintah negeri yang aman makmur ini.

Mereka asyik menyalahkan orang lain dengan memberikan label yang tidak enak didengar sedangkan mereka sendiri entah bagaimana.

Cuma sekadar bertanya, tirai 2016 akan berlabuh tidak lama lagi tetapi apakah yang Ahmad Yakob dan Mohd. Amar sudah buat untuk negeri ini?

Jawabnya – sama seperti dahulu hanya mengharapkan ihsan daripada orang yang mereka keji.