Dr. Vida Didenda Rm80,000

Pengasas produk kecantikan Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dia menghadapi 16 tuduhan gagal mengemukakan penyata GST dari tempoh 1 April 2015 hingga 31 Julai lalu mengikut Seksyen 41(6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.2 juta.

Penaja utama pasukan bola sepak Kelantan musim lalu itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, Jalan Tun Abdul Razak di Ipoh.

Setiap kesalahan tersebut membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Syed Ahmad Syed Abas.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 30 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi 16 lagi pertuduhan gagal membayar GST bernilai RM4.2 juta dalam tempoh sama mengikut Seksyen 41 (7) akta sama. – 15 Disember 2016.