Kelantan Belum Muktamadkan Keputusan Sertai Liga M

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) belum memuktamadkan keputusan sama ada mahu menarik diri atau tidak dari menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, keputusan muktamad mengenainya akan diputuskan pada kongres luar biasa badan induk itu yang akan berlangsung pada 29 Disember ini.

Dalam masa sama, Afandi juga mengakui buat masa ini, badan induk bola sepak negeri itu sememangnya tidak mempunyai dana yang cukup untuk membiayai pasukan.

“Kita akan berusaha mencari dana dalam tempoh terdekat ini, sekiranya kita tidak mampu menyediakan sekurang-kurangnya RM15 juta, kemungkinan kita akan tarik diri.

“Bagaimanapun, kita tunggu keputusan muktamad nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kafa malam tadi.

Tambahnya, beliau merayu pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri untuk membantu menyalurkan dana bagi membolehkan Kelantan kekal bersaing.

Kafa berdepan krisis kewangan yang tampak sukar diselesaikan tanpa penglibatan dan sokongan pelbagai pihak termasuk daripada Kerajaan PAS Kelantan sendiri. – 16 Disember 2016.