Penggunaan Kad Berasaskan PIN Lebih Selamat

Pemegang kad kredit dan kad debit masih mempunyai masa selama 15 hari untuk menukar kepada kad baharu berasaskan PIN.

Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) berkata, penggunaan kad berasaskan PIN lebih selamat, mudah dan cepat untuk membuat pembayaran berbanding menggunakan tandatangan.

“Pemegang kad kredit dan kad debit harus ingat PIN mereka dan memasukkan PIN enam angka di terminal pos peruncit,” katanya.

Semasa taklimat media mengenai peralihan kad tersebut bulan lalu, Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayaran Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Nyat Chuan, berkata transaksi PIN perlu berada di tahap selesa sebelum sistem tandatangan dihentikan.

Tan berkata, bulan lepas bank pusat berhak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana bank yang tidak melakukan usaha yang mencukupi ke arah usaha tersebut, tetapi ia akan mengkaji berdasarkan kes demi kes.

Sehingga akhir Oktober lalu, bilangan kad debit aktif yang telah ditukar masih lagi di bawah paras 50 peratus.

Data daripada ABM menunjukkan 6.1 juta daripada 7.5 juta kad kredit sudah ditukar dan industri itu sudah bersedia untuk menghantar semua kad kredit penggantian kepada pelanggan menjelang hujung bulan ini.

Daripada 6.1 juta, lebih 60 peratus kad sudah diaktifkan.

Untuk kad debit, hanya 8.4 juta daripada 17.8 juta kad debit aktif telah digantikan sehingga Oktober lalu.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai usaha tersebut boleh layari http://www.pinandpay.com.my.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi ABMConnect di nombor bebas tol 1-300-88-9980, atau log masuk ke eABMConnect di http://www.abm.org.my. – 17 Disember 2016.