Balak Kelantan Tidak Bernilai Tinggi

Akibat tidak mematuhi Standard Malaysia Certificate and Indicator (Natural Forest), Pensijilan Kayu-Kayan Unit Pengurusan Hutan (FMU) Kelantan di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MCTS) telah ditarik pada November lalu.

Berikutan penarikan itu sekali gus ia memberi impak negatif terhadap kayu balak yang dikeluarkan oleh negeri itu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jika tiada pensijilan tersebut, kayu balak yang dikeluarkan dari Kelantan tidak mempunyai nilai yang tinggi serta tidak akan diterima masuk ke negara-negara maju seperti Eropah, Australia, Amerika Syarikat dan Jepun.

“Ia hanya mungkin mampu dijual di Korea, China dan Jepun, atau mungkin hanya laku di negara Arab sahaja yang menggunakannya sebagai kayu semasa pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Strategic Partnership Ketua-ketua Jabatan/Agensi dan Pemimpin Tempatan Persekutuan negeri Kelantan di Kota Bharu.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Ir. Hamim Samuri.

Wan Junaidi berkata, pendapatan daripada hasil hutan tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti pembalakan semata-mata tetapi alternatif lain perlu diterokai bagi mengelak kemusnahan hutan dan alam sekitar.

“Saya sudah beri arahan kepada Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan supaya bekerjasama menyediakan satu sistem supaya kita dapat mempelopori eko-pelancongan di seluruh negara.

“Kita lihat contoh Sabah yang mana 15 tahun lalu pendapatan dari hasil balak mereka hanya RM150 juta tetapi kini apabila mereka menumpukan hutan yang sama dengan kegiatan eko-pelancongan, pulangan yang mereka peroleh adalah RM6 bilion.

“Kita juga perlu memanfaatkan kekayaan biodiversiti hutan negara yang mampu memberi pendapatan sehingga RM2 bilion setahun tetapi belum kita terokai sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, satu undang-undang akan dibentangkan pada tahun hadapan bagi tujuan keselamatan dan mengelak sumber kekayaan diambil orang luar.

Dalam pada itu, beliau menyarankan Kerajaan PAS Kelantan agar tidak sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal negeri itu walaupun ia dibenarkan dari sudut undang-undang.

“Kerajaan negeri seharusnya berhati-hati semasa memberi konsesi kepada syarikat-syarikat projek penanaman semula kerana ada pihak tertentu yang hanya mahu mengeluarkan balak,” jelasnya. – 18 Disember 2016.