Wujud Jawatankuasa Pemantau Elak Penyelewengan

Kerajaan digesa mewujudkan jawatankuasa pemantau untuk memantau perjalanan projek-projek berskala besar bagi mengelak berlakunya kes penyelewangan serta ketirisan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, pemilihan untuk jawatankuasa berkenaan juga perlu dilaksanakan dengan lebih teliti supaya ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang berwibawa dan berintegriti.

“Setakat ini, tiada pemantauan khusus dibuat untuk projek-projek besar dan ini menyebabkan banyak masalah timbul termasuk projek yang dilaksanakan tidak berkualiti.

“Oleh itu, kita perlu mencari kaedah yang sesuai untuk memantau setiap perjalanan projek supaya masalah penyelewengan serta ketirisan dapat dielakkan,” katanya.

Dalam pada itu, Akhbar berkata, proses audit juga perlu dilakukan segera sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewangan.

“Pasukan khas perlu dibentuk untuk meneliti dan membuat tindakan segera sekiranya ada unsur-unsur penyelewengan.

“Mereka tidak perlu tunggu sehingga projek siap untuk menjalankan proses audit kerana waktu itu sudah terlewat dan peruntukan juga sudah habis,” katanya. – 19 Disember 2016.