Biar Husam Terajui Kafa

Geger riuh pasal bola Kelantan. Tan Sri Annuar Musa letak jawatan sebab tidak mampu lagi untuk menanggung perbelanjaan pasukan.

The Red Warriors (TRW) ‘makan’ modal besar. RM15 juta untuk bersaing dalam liga. Bukan kata, duit sikit tidak boleh bersaing, masih boleh tetapi begitulah seadanya.

Pasukan lain dapat dana berpuluh juta. Pemain gaji puluh ribu. Atas semangat saja tidak cukup. Kalau bayar gaji murah pemain akan lari ke pasukan lain. Itu lumrah, pemain manusia biasa yang perlu terus hidup.

Soalnya bagaiamana pasukan lain boleh bersaing. Jawabnya, kerajaan negeri bantu. Berpuluh juta diberikan kepada pasukan secara tunai secara langsung atau pun melalui syarikat milik kerajaan negeri.

Di Kelantan, bukan saja tak bagi, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kena bayar pula kepada kerajaan PAS Kelantan (dibaca, Perbadanan Stadium Kelantan). Macam-macam cukai dan levi kena bayar. Sewa stadium suku kira.

Tetapi bila TRW juara, puak lebai inilah ke depan. Suruh pula, anak buah kibar bendera PAS dalam stadium. Tidak apalah kalau tidak mahu bantu sangat Kafa dan bola Kelantan, kita tidak boleh paksa orang tolong kita. Orang nak tolong pun kira besar rahmat.

Sebenarnya bukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang paling layak jadi Presiden Kafa, yang paling layak ialah bekas Exco Kanan Kerjaan PAS Kelantan, Datuk Husam Musa.

Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kata, Husam budak cerdik bukan saja untuk Kelantan tetapi juga untuk Malaysia.

Husam sudah ada master plan untuk pembangunan bola sepak Kelantan. Apakah kita sudah lupa, mengenai kompleks TRW
di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Kompleks sukan yang diinspirasikan oleh stadium sarang burung di China. Husam juga bijak cari duit sebab beliau kaya dengan idea. Lihat saja idea insuran kifalah, projek kambing jamnapari dan koridor depu. Sangat hebat.

Justeru, daripada memujuk pemimpin Kerajaan PAS Kelantan ambil alih Kafa, lebih baik beri peluang ini kepada Husam. Peminat perlu pujuk Husam ambil alih Kafa.

Asas yang dibina oleh Annuar sudah cukup hebat. Cuma perlu diteruskan sahaja perancangan sedia ada. Jadi, pujuklah Husam demi pembangunan bola sepak Kelantan bagi memastikan sebuah stadium baharu untuk rakyat negeri ini dapat dibina.