Kerajaan Persekutuan Bantu Indahkan Kota Bharu

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan untuk terus membantu Kerajaan PAS Kelantan menaikkan imej Kota Bharu sebagai antara pusat tarikan pelancongan terkemuka di negeri itu.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri, Datuk Makhtar Mustapha, sejak 2014 kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membiayai 109 projek mengindahkan bandar Kota Bharu.

Kesemua projek itu dikendalikan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Antara projek itu kata beliau, pembinaan menara tinjau dan laluan pejalan kaki di Tambatan Diraja, meningkatkan sistem pencahayaan di pusat bandar, menaik taraf Dataran Ilmu serta menaik taraf jalan di sekitar Pengkalan Chepa.kb2

“Kita mungkin berbeza ideologi politik namun perbezaan ini bukan penghalang untuk kita bekerjasama dengan kerajaan negeri membangunkan Kelantan dalam pelbagai aspek.

“Kerajaan Pusat tidak akan menganaktirikan Kelantan, sebaliknya memberi tumpuan yang lebih bagi memastikan negeri ini mampu bersaing dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Menaik Taraf Dataran Muhammadi yang terletak di Zon Warisan, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Zamri Ismail.

Mengulas mengenai Dataran Muhammadi, Makhtar memberitahu projek hasil kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan MPKB-BRI tersebut menelan belanja sebanyak RM1.7 juta.

“Dataran Muhammadi membabitkan pembinaan dataran berturap batu-bata, 12 kios perniagaan, dua wakaf, satu pondok polis, tempat duduk serta ruang meletak kenderaan untuk jemaah Masjid Muhammadi serta para pelancong.

“Kita harap segala kemudahan ini dapat menaikkan imej Kota Bharu di mata pelancong, sekali gus dimanfaatkan untuk membangunkan sektor pelancongan Kelantan,” katanya.

Makhtar turut memberitahu, dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, sejumlah RM85 juta telah disalurkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membangunkan bandar-bandar di seluruh Kelantan. – 20 Disember 2016.