PAN Tak Minat Dengan PKR

PAN mengulangi pendirian bahawa mereka tidak berminat untuk bergabung dengan PKR.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, isu penggabungan dua parti itu tidak berbangkit kerana mereka turut berperanan membentuk gabungan pembangkang baharu bersama DAP.

“Sekarang ini dengan kehadiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama Pakatan Harapan (gabungan PKR-DAP-Amanah) telah menjadikan peranan Amanah (PAN) dan semua parti-parti di dalamnya semakin penting dalam usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional.

“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan mengharapkan hubungan yang kukuh antara kita akan kekal seutuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, idea penggabungan itu perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Kata beliau, sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Afif Bahardin berkata, cadangan supaya PKR dan PAN bergabung telah dibangkitkan dalam mesyuarat dalaman partinya. – 20 Disember 2016.