Timbang Semula Keputusan Tarik Diri – Annuar

Tan Sri Annuar Musa meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mempertimbangkan semula keputusannya untuk menarik diri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menerusi laman Facebooknya hari ini, bekas Presiden KAFA itu berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan The Red Warriors (TRW) walaupun tidak lagi menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

“Saya harap exco KAFA harus elak daripada tidak menyertai Liga M kerana kalau tidak silap saya, peraturan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menetapkan pengunduran bererti hilang hak di Liga Super selama-lamanya.

“Jika mahu masuk semula, Kelantan perlu bermula di liga DIV 3/Liga FAM. Untuk kembali ke Liga Super mungkin perlu 10 tahun. Malah penyertaan pasukan Piala Belia U19 dan Piala Presiden U21 turut terkubur,” katanya.

Beliau menasihatkan agar KAFA berusaha bagi memastikan sukan yang menjadi kebanggaan rakyat negeri itu selama ini tidak berkubur begitu sahaja.

“Berusahalah, yang pipis tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, KAFA memutuskan untuk menarik diri dari Liga M musim depan berikutan kekangan kewangan dihadapi selain gagal mendapat penaja utama. – 20 Disember 2016.