Ditahan Selepas Bergelut Dengan Polis

Dua lelaki berusia 27 dan 34 tahun ditahan selepas bergelut dengan anggota polis di Kampung Tepi Sungai, Tanah Merah semalam.

Lelaki tersebut masing-masing mempunyai lapan dan 10 rekod jenayah membabitkan samun, dadah, ragut dan rogol.

Lima biji pil eramin 5, dua biji pil kuda, satu tiub heroin dan sebilah pisau, parang serta pedang turut ditemui dalam kenderaan dinaiki suspek.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, polis cuba menahan kereta dinaiki suspek yang dilihat mencurigakan tetapi mereka melarikan diri.

“Mereka (suspek) kemudian melanggar dua kereta Proton Waja dinaiki anggota polis.

“Anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan kerana suspek bertindak agresif. Seorang daripada suspek cedera ketika bergelut dengan anggota polis,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang cedera dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika bertugas.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – 21 Disember 2016.