Mavcom Batal Permit Eaglexpress

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd., berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu satu kenyataan Mavcom berkata, syarikat penerbangan berkenaan dilarang membawa penumpang, mel atau kargo bagi tujuan sewaan atau upah bagi mana-mana perjalanan domestik atau antarabangsa.

“Jika syarikat penerbangan itu terus menjalankan perkhidmatan selepas permitnya dibatalkan berkuat kuasa 21 Disember 2016, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771),” kata kenyataan itu.

Mavcom adalah badan kawal selia bebas yang bermatlamat menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Pada 30 Ogos 2016, Mavcom memberi permit ASP bagi tempoh 12 bulan (bermula 1 September sehingga 31 Ogos 2017) kepada Eaglexpress yang perlu mematuhi syarat tertentu, namun ia gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, pada 1 Disember lepas, Mavcom mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Eaglexpress untuk memberi peluang kepadanya mengemukakan representasi secara bertulis pada 14 Disember lepas yang terbukti tidak memuaskan.

Kata kenyataan itu lagi, syarikat penerbangan itu gagal memberikan bukti cukup untuk meyakinkan Mavcom bahawa ia akan menyelesaikan semua isu berbangkit dan dapat mematuhi syarat ditetapkan.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad menegaskan, kejadian ini seharusnya menjadi peringatan kepada bakal serta pengusaha syarikat penerbangan komersial sedia ada bahawa industri ini amat mencabar.

“Ia memerlukan perancangan rapi, pengetahuan mendalam mengenai hal kewangan, pengetahuan berkenaan perkara-perkara operasi serta kemampuan pelaksanaan untuk menjayakannya.

“Mavcom akan terus berusaha untuk memastikan hanya syarikat yang bersedia dan memiliki asas-asas ini dibenarkan untuk beroperasi,” katanya.

Mavcom yang mula beroperasi pada 1 Mac 2016, antara lainnya bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan pelesenan syarikat penerbangan, caj lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian di antara penyedia perkhidmatan penerbangan dan perlindungan pengguna. – 21 Disember 2016.