MB, KAFA Bertemu Bincang Krisis TRW

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dijadual menerima kunjungan rasmi pemimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 1 Januari depan bagi membincangkan krisis yang melanda persatuan itu sehingga menjejaskan pasukan The Red Warriors.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sebelum pertemuan itu, kerajaan negeri juga akan meneliti secara terperinci setiap keputusan yang diambil KAFA dalam kongres khasnya yang akan berlangsung pada 29 Disember depan.

Beliau turut memberi bayangan bahawa kerjasama antara kerajaan Kelantan dengan KAFA boleh menjadi kenyataan sekiranya kedua-dua pihak sedia mengenepikan perbezaan fahaman politik dan bersikap profesional dalam usaha membangunkan sukan bola sepak.

“Berbanding negeri-negeri lain, di Kelantan persatuan bola sepak tidak dipimpin Menteri Besar dan keadaan ini mewujudkan jurang antara persatuan dengan kerajaan negeri. Kita berharap selepas kongres itu nanti, KAFA boleh dibebaskan daripada kongkongan politik.

“Persatuan ini perlu diuruskan secara profesional dan mungkin inilah titik permulaan perubahan kepada pembangunan bola sepak Kelantan yang sebenarnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Abdul Fattah dalam pada itu berkata, pihaknya berpendapat KAFA tidak perlu menarik diri daripada menyertai saingan Liga M namun sebarang tindakan lanjut kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan krisis hanya akan diputuskan selepas kongres khas KAFA serta pertemuan pemimpin persatuan itu dengan Ahmad.

“Kita nak tahu apa isu sebenar melanda KAFA, adakah masalah dana sahaja atau ada masalah lain. Kita tidak pernah tahu apa-apa perkembangan di dalam KAFA. Tidak ada wakil negeri di dalam KAFA, malah saya sebagai Exco Sukan Kelantan juga tidak dilantik dalam jawatankuasa KAFA.

“Dulu saya pernah dilantik, tetapi tidak pernah dipanggil ke dalam mesyuarat, jadi macam mana kita hendak tahu keadaan KAFA yang sebenar,” katanya.

Pada 17 Disember lalu akhbar melaporkan, KAFA kian terdesak apabila perlu mencari dana sebanyak RM14.2 juta dalam tempoh hanya dua minggu untuk memastikan pasukan bola sepak negeri ini kekal bersaing dalam Liga M pada musim depan.

Berikutan itu, Barisan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBSK) yang diterajui Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan mendesak kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan isu ‘kantung kering’ dihadapi KAFA yang mungkin menarik diri daripada Liga M. – 21 Disember 2016.