Nik Abduh Harap Kerajaan PAS Kelantan Bantu KAFA

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berharap, kerajaan PAS Kelantan tampil membantu menyelesaikan kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi membolehkan pasukan itu bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Sambil meluahkan rasa dukacitanya dengan apa yang berlaku, beliau tidak menafikan bahawa sukan bola sepak sememangnya menjadi kebanggaan rakyat negeri itu tanpa mengira kedudukan, peringkat umur serta fahaman politik.

“Saya mengharapkan pihak-pihak yang bertanggungjawab terutama kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu ini dengan baik untuk selamatkan sukan yang menjadi penyatuan rakyat di negeri ini.

“Dua hari lepas, saya ada berbual bersama beberapa pemimpin kuat bola sepak untuk mengetahui pendapat mereka dan selepas itu saya berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dengan menyatakan beberapa pandangan kepadanya.

“Walaupun Menteri Besar belum bersedia menjadi Presiden KAFA, tetapi diharapkan Kerajaan Kelantan dapat membantu dari segi menyalurkan bantuan kewangan,” katanya.

KAFA sebelum ini dilaporkan kemungkinan akan menarik diri daripada menyertai Liga M musim hadapan berikutan masalah kewangan.

Susulan itu, Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBK) melancarkan Tabung Dana Penyelamat Bola Sepak Kelantan bagi menyelesaikan krisis kewangan KAFA.

Penyelarasnya, Datuk Takiyudin Hassan berkata, pihaknya berharap tabung itu dapat memulihkan kewangan KAFA dengan setiap seorang rakyat Kelantan akan menyumbang RM10. – 21 Disember 2016.