PM Bimbang Masalah Tarik Diri Liga M

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kebimbangannya berhubung masalah beberapa Persatuan Bola Sepak Negeri yang ingin menarik diri daripada Liga Malaysia 2017 kerana masalah kewangan.

Sehubungan itu, beliau berharap persatuan bola sepak negeri yang terbabit mencari jalan bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Berkenaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), saya difahamkan masalah ini timbul berikutan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden.

“Saya telah minta Annuar untuk membantu KAFA, agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors,” katanya dalam catatan terbaru di laman Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini KAFA dilaporkan berkemungkinan akan menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia musim hadapan berikutan masalah kewangan.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Selangor dikatakan akan turut bertindak sedemikian berikutan masalah yang sama.

Najib berkata, sebagai sukan rakyat nombor satu dalam negara, adalah penting semua yang terbabit dengan sukan bola sepak untuk memastikan sukan itu terus berkembang maju.

Katanya, mereka yang terbabit dengan persatuan bola sepak tidak boleh menghampakan berjuta peminat sukan itu terutama generasi muda.

“InsyaAllah, dengan ada persepakatan yang baik serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar dari masalah ini,” katanya. – 21 Disember 2016.