Terima Suapan RM3,000, Pegawai Penjara Ditahan

Dua pegawai penjara berusia 32 dan 38 tahun direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM3,000.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen, Norida Mohd. Husain.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof, kedua-dua pegawai berkenaan disyaki menerima suapan melalui seorang bekas banduan.

“Ia sebagai dorongan bagi melepaskan ujian saringan air kencing bagi beberapa orang banduan yang didapati positif dadah.

“Mereka ditahan diantara jam 7 malam hingga 12 tengah malam tadi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman 20 tahun penjara dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan. – 21 Disember 2016.